LAWATAN 2MS ( Madinah, Mekah, Syria)
PENGENALAN
Idealnya, pembentukan modal insan yang berkualiti tinggi adalah matlamat utama UiTM bagi mencapai wawasan untuk membentuk graduan yang bersikap global. Pendedahan dan pendekatan yang baru sememangnya diperlukan bagi memantapkan lagi proses pembelajaran dan pengajaran.
Dalam hasrat kerajaan mahu membina kemampuan bangsa dari segi peningkatan penguasaan ilmu, kemahiran dan kepakaran melalui Islam Hadhari semestinya masyarakat yang membaca dan berilmu pengetahuan perlu dilahirkan. Tuntutan Islam mewajibkan umat menguasai ilmu dalam semua bidang perlu dihayati. Perlu diperbetulkan sebarang salah faham terhadap konsep ilmu agar tidak berlaku pemisahan antara ilmu sekular dengan ilmu agama. Penguasaan sains dan teknologi serta peningkatan kemahiran dan kepakaran merupakan sebahagian dari tuntutan Islam. Sumbangan tamadun Islam dalam sains dan teknologi yang membawa kepada kelahiran renaissance di Eropah wajib diketahui oleh semua pelajar Islam. Di samping itu, pengalaman yang ditimba dari aktiviti-aktiviti sebegini, mampu memainkan peranan dalam menyumbang kepada peningkatan mutu pendidikan melalui pertukaran maklumat, idea dan membuka minda kepada perspektif yang berbeza dan lebih kreatif.
Menyedari hal sedemikian, jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Pusat Perkembangan Islam Hadhari (JPPIH) UiTM Kelantan bersepakat menganjurkan lawatan akademik mahasiswa/i ke Timur Tengah (Madinah, Makkah dan Syria). Umumnya,Timur Tengah adalah tempat bermulanya tamadun Islam dan amat terkenal dengan panggilan Bumi Anbiya’, tempat bermulanya penyebaran ilmu diperingkat awal.Ummul Qura. Universiti tersohor di Makkah, Universiti Islam Madinah dan Universiti di Syria adalah destinasi utama lawatan. Disamping itu, kesempatan untuk mengerjakan Umrah dan melawat tempat-tempat sejarah perkembangan tamadun Islam turut menjadi sasaran.
Pihak jawatankuasa penganjur percaya bahawa pemilihan Madinah, Makkah dan Syria sebagai destinasi lawatan bukan sahaja bertepatan dengan kehendak universiti, malah selari dengan kehendak Negara dan ianya bertepatan dengan prinsip-prinsip dasar Islam Hadhari. Justeru, hal ini dapat menjadikan UiTM sebagai salah satu penggerak dalam menjayakan agenda negara dalam menjana kemajuan insan dalam pelbagai bidang di era globalisasi yang menuntut manusia sentiasa bergerak maju, bersaing hebat serta mampu menyesuaikan diri dengan anjakan pradigma dunia ini dengan cara yang tersendiri dan bukan ikutan semata-mata yang akhirnya memupuk masyarakat yang GLOKAL.
MATLAMAT DAN OBJEKTIF LAWATAN
Kunjungan hormat dan dialog yang akan diadakan bersama Universiti di Madinah dan Syria, diharap dapat memberi natijah dan pendedahan baru yang berguna kepada rombongan untuk di kongsi bersama. Antara manafaat yang diharapkan:
1.1 Mempelajari dan mendalami sistem pendidikan dan pengurusan universiti di sesebuah negara luar.
1.2 Menjejaki dan mendalami sejarah perkembangan Islam di Timur Tengah sebagai usaha untuk merealisasikan Islam Hadhari dalam masyarakat Malaysia.
1.3 Meneroka kemungkinan jalinan hubungan akademik seperti program pertukaran tenaga pengajar mahupun pelajar.
1.4 Memperkenalkan UiTM Kelantan melalui pertemuan dan jalinan yang dibina dengan institusi-institusi yang akan dilawati di Timur Tengah.


satu laman web yang bagus,tanhiah.